Friday, April 23, 2010

200 tunjuk perasaan bantah BN roboh rumah rakyat di Kg Bakau LIKAS, SABAH!

Azim Fitri

KOTA KINABALU, 19 April: Hujan yang turun tidak menghalang lebih 200 penduduk yang menjadi mangsa perobohan rumah mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Kampung Bakau, Likas petang kelmarin.

Mereka berkumpul mengadakan tunjuk perasaan untuk menyuarakan bantahan mereka berikutan tindakan kejam kerajaan Barisan Nasional (BN) meroboh rumah-rumah mereka yang telah didiami sejak 30 tahun yang lalu.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Anwar Ali dan Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamudin Sulaiman bagi menyatakan sokongan moral PAS kepada mangsa kezaliman BN di Sabah.

Idris yang berkebetulan dalam perjalanan ke satu majlis di Tuaran singgah ke Kampung Bakau untuk melihat sendiri keadaan yang dialami oleh mangsa perobohan rumah itu.

Beliau yang terlalu sebak dan sedih hanya mampu menyampaikan ucapan selama lima minit dan tidak mampu meneruskan ucapan beliau.

Laungan takbir dan ‘Hidup Pakatan Rakyat’ sentiasa bergema mengiringi setiap kali pimpinan PAS menyampaikan ucapan mereka.

Di antara kandungan sepanduk dan poster penunjuk perasaan ialah ‘Beri hak kepada kami penduduk miskin selama 30 tahun menduduki Kg Bakau Likas’, ‘Kami bantah pencerobohan ini’ dan ‘Air dan letrik kamu sudah potong tolong sambung kembali jangan siksa orang Islam sesama kita’.

Rumah-rumah penduduk Kampung Bakau telah diroboh sejak Isnin lalu.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bersama-sama anggota Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Polis, Sabah Electricty dan Jabatan Air telah melancarkan operasi meroboh rumah-rumah setinggan bagi mencapai matlamat setinggan sifar 2010.


Baru kami sedar, BN tidak

minat bela rakyat!

Azim Fitri

KOTA KINABALU, 18 April: “Sekarang kami baru sedar, BN memang tidak berminat untuk membela rakyat. Kami tertipu dan ditipu oleh para pemimpin BN,” kata seorang anak muda di Kampung Bakau, Likas yang mahu dikenali sebagai Jaidin.


Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat agar peristiwa yang menyayat hati di kampung itu baru-baru ini tidak berulang di Hulu Selangor.


Ini ekoran tindakan kejam Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri meroboh rumah-rumah penduduk setinggan di kampung itu yang amat menyayat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh penduduk.


Tanpa belas kasihan, para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama anggota Rela meroboh satu demi satu rumah penduduk yang rata-ratanya miskin dan daif bermula 12 April lalu yang dijangka berakhir 24 April ini.


Paling menyedihkan kakitangan DBKK dan Rela tergamak meroboh sebuah rumah ketika penghuninya sedang menikmati juadah makanan mereka.


Tidak cukup dengan itu, orang-orang suruhan kerajaan BN ini juga telah merosakkan harta benda penduduk seperti barangan elektrik, perabot dan sebagainya.


Selama ini saya dan keluarga setia menyokong Barisan Nasional tetapi kenapa ini balasan yang kami terima? Saya ada sembilan orang anak dan enam orang masih bersekolah. Rumah saya diroboh dan sekarang kami tidak tahu hendak tinggal di mana,” kata Nasron yang tinggal bersama keluarga di sebuah pondok sempit dan usang. (Gambar bawah)

Dengan nada sebak Nasron memberitahu: “Kami ini seperti tiada harga, dibuat macam binatang. Lebih teruk lagi daripada Yahudi. Kami dihalau tanpa apa-apa bayaran pampasan satu sen pun. Saya disuruh ke Telipok Ria (perumahan rakyat) tetapi saya perlu membayar wang deposit sebanyak RM700.

“Itu belum campur kos pendawaian elektrik yang lebih kurang kosnya RM2,000. Manakala anak saya bersekolah di Kampung Likas, tambang seorang menjadi RM80 sebulan. Maka dengan enam orang anak kos tambang sekolah sudah mencecah RM480 yang mana saya sendiri tidak mampu sediakan semua itu”.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakau, Nasir Ahid penduduk telah mendiami di situ selama 30 tahun iaitu awal tahun 1980-an lagi.

Pada waktu itu, katanya penduduk yang berasal dari Semporna, Kudat dan Kota Marudu telah datang meneroka dan membina perkampungan di tanah paya seluas 23 ekar. Kesemua mereka Bumiputera malahan pengundi Kampung Bakau saja berjumlah 3,000 orang.

“Pada masa itu, salah seorang ahli JKKK telah mempelawa saya untuk membina rumah di sini dengan keluasan 30 x 40 kaki. Kebenaran yang diberikan itu membolehkan saya membina rumah untuk kami sekeluarga menumpang teduh dan meneruskan kehidupan,” kata seorang pesara polis yang tidak mahu dikenali.

Kini beliau telah bersara manakala isterinya bekerja sebagai tukang sapu dengan gaji sebanyak RM17 sehari.

“Apabila kerajaan mahu meroboh rumah kami, saya tidak tahu hendak pergi ke mana kerana saya tidak mempunyai tanah dan wang,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Radin memberitahu: “Saya membuat panggilan kepada Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Jumat Idris untuk memohon bantuan kerana penduduk Kampung Bakau hidup kegelapan setelah pihak SESB memotong bekalan elektrik sejak Isnin lagi. Lantas Jumat menjawab ada baiknya juga hidup dalam kegelapan,” katanya yang tidak berpuas hati dengan lagak sombong pemimpin Umno itu.

Robohnya rumah-rumah Kampung Bakau itu diiringi dengan tangisan dan hancur berkecainya harapan penduduk untuk terus menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Suatu ketika dahulu, apabila menjelang pilihan raya, wakil rakyat Dun Karambunai sekarang, Jainab Ahmad telah memberi jaminan bahawa nasib penduduk kampung itu akan dibela dan dipertahankan.

Namun apabila rumah-rumah mereka telah ranap diroboh, wakil rakyat tidak muncul-muncul. Kini semuanya itu ternyata hanya janji-janji kosong belaka.


SATU LAGI BUKTI BN BUKANLAH JUARA RAKYAT
Wednesday, 28 April 2010 7:58 AM Oleh Masdar Wahid (Emel penulis ini)

KUALA LUMPUR : Selepas slogan Presiden Umno, Najib Razak dikaitkan dengan ‘One Israel’, kini slogan itu terus diragui malah mendapat sindiran daripada nelayan di negeri Sarawak. Kejadian itu dikesan berlaku di perkampungan Telaga Air, di Kuching, Sarawak apabila nelayan di kawasan itu menaikkan papan tanda dengan kata-kata berikut;


‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, pembangunan harus dilaksanakan, kemahuan rakyat hendaklah ditunaikan.

Jambatan kami jangan dirobohkan, kehendak rakyat harus diperbaiki, tanpa rakyat tiada kerajaan,’.


Difahamkan, papan tanda itu dinaikan bagi menuntut kerajaan negeri segera membina jeti yang sesuai untuk kegunaan nelayan di kampung tersebut.


Mengulas isu itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri Sarawak, Abdul Azeez Mohamad, berkata, kutukan daripada nelayan di perkampung itu merupakan bukti jelas bahawa slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib meminggirkan rakyat miskin di negeri itu.


“Slogan 1Malaysia hanyalah slogan politik untuk menyelamatkan bahtera Umno dan Barisan Nasional yang hampir tenggelam,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.


Beliau turut memberi contoh bagaimana slogan itu hanya mementingkan kroni BN sebagaimana yang berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Beladin sebelum ini.


Menurutnya, bantuan subsidi untuk nelayan di kawasan itu bersifat terpilih dan hanya diberi kepada mereka yang menyokong Barisan Nasional.


Mengulas isu sama, mantan Ketua Polis Daerah Baram, Voon Lee Shan menuntut agar pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah nelayan tersebut kerana ia jelas merupakan suara dan rintihan rakyat di perkampungan itu yang memerlukan pembelaan.


“Walapun sekadar tuntutan jeti untuk nelayan, kerajaan BN jangan sesekali mendiskriminasi dan menzalimi nelayan kerana itu adalah hak nelayan dan mereka berhak menuntut apa yang sepatutnya mereka terima,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negeri itu terutamanya rakyat marhaen agar segera bangkit untuk menuntut hak mereka yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan BN.


Difahamkan, terdapat kira-kira 170 bot kecil dan hampir 30 bot besar nelayan yang menggunakan beberapa jeti termasuklah jeti tradisi sedia ada yang usang di perkampungan itu.



Muhyiddin Pembohong Besar, PAS Buktikan BN Memang Zalim

Rate This
Quantcast


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan Timbalan Presiden Umno sebagai pembohong besar kerana cuba menafikan kezaliman yang dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini.


PAS mempunyai banyak bukti yang nyata tentang kezaliman BN itu. Rakyat kini semakin bijak.Mereka tidak akan lupa apa yang berlaku pada penduduk Berembang di Selangor, Kg Paya Bunga, Kuala Terengganu, Kg Denai Pinggiran, Kempas Johor dan terbaru di Kg. Bakau, Likas Sabah.


Rumah-rumah rakyat marhaien yang selama ini mengundi BN telah dirobohkan oleh jentolak-jentolak yang diarahkan oleh Kerajaan BN. Mereka akhirnya duduk menumpang dirumah saudara mara, malah yang lebih menyedihkan ada kalangan mereka yang merempat dikhemah-khemah sementara seperti pelarian perang.


Begitulah zalimnya BN, rumah-rumah rakyat menjadi mangsa pembangunan yang selalu diwar-warkan oleh BN semasa kempen pilihanraya.


Perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku di kawasan Hulu Selangor kerana BN hanya melakukan pembangunan untuk kepentingan mereka.


PAS menasihatkan agar pengundi Hulu Selangor berfikir banyak kali. Mereka telah mengundi BN sejak pilihanraya pertama lagi, malah telah memberikan BN 3 kerusi DUN pada pilihanraya ke-12. Tapi apa mereka dapat? Apa yang pengundi-pengundi Hulu Selangor dapat?


BN datang lagi dalam Pilihanraya kecil kali ini tapi masih cerita soal pembangunan sedangkan selama 12 penggal mereka tidak berbuat apa-apa yang besar untuk kawasan ini. Itu zalim namanya kerana Pakatan hanya tadbir Selangor dua tahun pula yang dituduh gagal membangunkan Hulu Selangor.


Kezaliman BN hanya akan berhenti jika rakyat menolak mereka secara total dalam Pilihanraya. Maka pengundi Hulu Selangor perlu berani menolak BN untuk menidakan kezaliman mereka.

Tuesday, April 13, 2010

52 TAHUN BN MEMERENTAH TAPI TAK BUAT APA-APA SEBALIKNYA


Dua Tahun Memerintah, PR Berjaya Siapkan 20 Projek Terbengkalai

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 14 April - Dari Mac 2008 hingga Januari 2010, jumlah projek terbengkalai yang berjaya disiapkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sepenuhnya serta pemilik telah mendapat kunci kediaman adalah 20 projek atau 7,779 unit.


Statistik itu diberikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Negeri Selangor Meru, Dr Abdul Rani Osman pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-12 di sini semalam.


Menurut Iskandar, syarikat yang bekerjasama dengan Task Force yang ditubuhkan sedang atau telah mengkaji 103 projek terbengkalai melibatkan 44,480 unit.


Dari jumlah itu katanya, 25 projek atau 9,298 unit sama ada di bawah pemaju atau kontraktor yang baru atau projek telah dihidupkan semula.


Setakat ini 396 unit dari tiga projek telah siap iaitu Saujana Putra, Ukay Bistari dan Puncak Jalil.


"Untuk tahun ini, 2,400 unit dijangka akan disiapkan tahun ini," ujar ADUN Cempaka itu lagi.


Menjawab soalan Dr Abdul Rani berkenaan langkah yang diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah pembeli rumah terbengkalai di Taman Desa Kencana di DUN Meru, Iskandar berkata terdapat tiga kaedah yang digunakan bagi menyelesaikan projek berkenaan.


Ia adalah menerusi pemantauan rapi, Task Force projek perumahan terbengkalai serta pengambilalihan atau rampasan tanah seperti di Bukit Botak dan Alam Perdana.


Katanya, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor boleh mengeluarkan surat mengesahkan projek perumahan terbengkalai supaya pembeli boleh menstrukturkan semula pinjaman mereka.


"Jika terdapat pembeli yang telah disenarai hitam oleh bank kerana berhenti membayar ansuran pinjaman, satu cara adalah bagi pemaju penyelamat pembeli ialah dengan cara membeli balik rumah mereka supaya pembeli berkenaan terkeluar dari senarai hitam.


"Bagi yang tidak mendapat pinjaman bank, kerajaan negeri telah mengenalpasti bank tertentu yang boleh menguruskan pinjaman bagi mereka yang tidak mempunyai slip gaji seperti penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri," katanya.


Tambah beliau, pinjaman di bawah skim ini boleh juga dilanjutkan sehingga 65 tahun. Sementara bagi yang umurnya telah lanjut pinjaman dua generasi boleh juga ditawarkan.


Menurut Iskandar, projek Desa Kencana yang terbengkalai ini dan projek-projek terbengkalai lain memerlukan lebih RM5 bilion untuk memulihkannya.


"Buat masa ini, pemulihan adalah secara 'self-financing' yang dibiayai oleh sektor swasta.


"Kerajaan negeri belum lagi membiayai secara langsung pemulihan projek-projek terbengkalai. Tetapi anak syarikat negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sedang terlibat di dalam memulihkan projek terbengkalai Selayang Mutiara atau Bukit Botak," katanya.


ULASAN.

BN dah memerentah Selangor lebih dari 50 tahun dan semasa pemerentahan BN, banyak projek perumahan terbengkalai yang menyebabkan rakyat kesusahan. Akibatnya rakyat yang membuat pinjaman terpaksa mebayar faedah pinjaman perumahan yang terbengkalai itu dan pada masa yang sama terpaksa menyewa rumah sewa untuk didiami sementara menunggu rumah mereka siap. Kesiannya mereka, ya! kalau setakat dua tiga tahun tu tak apalah, tapi kalau lama-lama tu parahlah.

Patutlah mereka pakat ramai-ramai menjatuhkan kerajaan BN di Selangor tu dalam PRU 2008 dahulu! Ingatkan apa sebabnya. Rupa-rupanya projek perumahan terbengkalai yang menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan BN di Selangor tu!


Jadi bolehkah BN mendabik dada "BN JUARA RAKYAT"?

BN juara menghabiskan khazanah negara apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas

Wednesday, October 17, 2007

Malaysia bukan 'boleh' tetapi 'bodoh' - akhbar Australia

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Sebuah akhbar Australia bukannya menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

"Thas not Malaysia "boleh", that's Malaysia "bodoh" (stupid)," tulis Backman mengakhiri tulisannya yang disiarkan 15 November 2006 lagi ketika Malaysia sedang mengwar-warkan akan menghantar rakyatnya ke angkasalepas.

Ia disebarkan secara meluas dalam internet selepas Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muzaffar Shukur dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa milik Rusia baru-baru ini.

Menurut Backman, pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia.

Antaranya, Malaysia menggunakan syarikat minyak miliknya, Petronas untuk membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC), iaitu bangunan yang tertinggi ketika ia dibina.

"Malaysia sangat berbangga dengan bangunan ini. Padahal mereka hanya membuat sedikit sahaja untuknya.

"Duitnya datang dari bumi (minyak Petronas), juruteranya dikontrakkan kepada syarikat Korea Selatan.

"Bahkan, mereka tidak pun menguruskan kompleks perniagaan yang ada di bangunan ini. Ia diuruskan oleh syarikat Australia, Westfield," tulis Backman dalam tulisannya.

Tentang angkasawan, Backman menulis, rakyat Malaysia itu hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh". Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

ULASAN: Adakah BN boleh mendabik dada "BN JUARA RAKYAT' kerana menghabiskan duit rakyat untuk program-program yang tidak berfaedah seperti yang dinyatakan diatas. Hasilnya apa? Hasilnya mana?


Sunday, April 11, 2010

Umno Tipu Tanah Penduduk Felda Sg Buaya

Oleh Rusnizam Mahat, suara keadilan

SUNGAI BUAYA 11 Apr - Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Umno-Barisan Nasional didakwa menipu penduduk Felda Sungai Buaya dengan mengambil tanah mereka tanpa diberikan pampasan seperti yang dijanjikan lebih 16 tahun dahulu.

Pasti ramai yang masih mengingati kisah 363 peneroka Felda Sungai Buaya yang ditipu dengan janji-janji manis syarikat pemaju yang kononnya mahu menjadikan mereka jutawan segera.

Kisah itu berlaku ketika Selangor di bawah pimpinan Umno dan dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Selama itu juga, penduduk Sungai Buaya hidup dalam penderitaan selepas tanah kebun mereka dijual kepada syarikat pemaju, Murna Jaya Development Bhd kononnya bagi dibangunkan dengan projek perumahan.

Namun impian mereka berkecai dengan harapan dan janji palsu yang diberikan pihak pemaju yang turut mempergunakan Umno untuk mempengaruhi penduduk berkenaan. Bahkan mereka tidak diberikan bayaran penuh seperti yang dijanjikan sebanyak RM1 juta.

Akibatnya, impian mereka bergelar jutawan bukan sahaja berkecai, malah mereka kehilangan tanah kebun kelapa sawit yang memberikan mereka sumber pendapatan dan rezeki selama ini. Apa yang tinggal kepada peneroka itu kini hanyalah tapak rumah sebesar sekangkang kera.

Barangkali ramai yang tidak mengetahui atau terlupa bahawa Muhammad Taib merupakan salah seorang dari enam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan dan tali barut yang terlibat secara langsung dalam menipu dan merampas hak-hak peneroka Felda itu.

Ketua kampung Sungai Buaya, Saidin Busu antara 34 orang peneroka Felda yang memfailkan kes itu ke mahkamah pada 2002 selepas menyedari diri mereka ditipu dengan perjanjian yang mengelirukan dan berat sebelah.

"Ketika itu Muhammad Taib orang kepercayaan penduduk di sini sebagai Menteri Besar, apa yang dia cakap penduduk lebih faham. Itulah bermulanya titik hitam Felda Sungai Buaya.

"Muhammad Taib dia terlibat. Sebab itu saya nak cakap hari ini, dalam Sinar (Harian) tak keluar. Muhammad Taib adalah antara enam ahli lembaga pengarah dalam syarikat Murna jaya pada 1994. Setiap perjanjian dalam lembaga pengarah ditandatangan beliau. Dalam mahkamah pun perkara itu disebut," kata Saidin.

"Inilah penyamun-penyamun yang merompak tanah kami," celah Jamadi Mohammad, pengerusi jawatankusa yang mewakili 34 penduduk yang membawa kes itu ke mahkamah.

Menurut Jamadi, setelah tamat perjanjian asal pada 1999 iaitu selepas 48 bulan tarikh perjanjian, baki keseluruhan masih tak dijelaskan. Kemudian projek tersebut ditunda dengan satu lagi janji oleh syarikat sehingga 2004.

"Hanya satu janji pada tahun 2000 ditunai, itupun tak menepati janji apabila pihak ketiga membayar kepada pihak kedua (Murna Jaya) RM112,000. Kemudian sampai kepada kita RM41,000. Ke mana lagi RM72,000. Sedangkan pihak ketiga sudah bayar. Ini ada penyata yang dibawa ke mahkamah," kata Jamadi.

Manakala pada 2005 ujarnya, mereka dibayar hanya RM1,000 bagi menyambut persiapan bulan Ramadhan dan Hari Raya Puasa pada masa itu. Selepas itu mereka tidak lagi mendapat sebarang bayaran sehingga hari ini.

"Bila kita jumpa peguam, peguam bertanya, kenapalah you sign. Kita ni manalah tahu. Macam pakcik ni umur 65 sekolah pun sekolah rendah. Dari segi perundangan tak tahu. oleh kerana dakyah dan dipengaruh, siapa yang tak nak senang dengan janji-janji manis dia orang ini.

Sepanjang perjuangan mempertahankan hak mereka, Saidin berkata, mereka mengharungi pelbagai cemuhan dari sebahagian peneroka yang dipengaruhi oleh janji-janji berkenaan sehingga dituduh sebagai pengkhianat yang mahu menggagalkan perjanjian itu.

"Sehinggakan kalau kenduri-kendara yang 34 orang ini, kalau tak ada saudara mara yang datang, tak ada orang pun. Pengerusi kita sebelum Jamadi, arwah Rahim Johari meninggal tak ada yang hadir melainkan ahli persatuan.


"Kami dipulaukan, disisihkan dalam masyarakat. Kami ni dianggap pengkhianat untuk menggagalkan pembangunan di kawasan ini. Selepas 2008, saya salah seorang yang bawa kes ini ke mahakamah, dilantik sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK. Baru kita mendapat program menerangkan cerita sebenar.

"Sekarang baru ada peneroka yang sedar, tetapi masih ada konco-konco yang senang dibayar, masih lagi dikedai-kedai menyatakan kamilah yang salah. Bagi kami jalan penyelesaiannya adalah bayar hak kami. Kesian kepada penduduk. Daripada 363 peneroka tinggal 66 orang sahaja kerana yang lainnya telah meninggal dunia.," ujar beliau lagi.

"Allah Taala yang Maha Kaya mengetahui, mana yang betul mana yang tak betul. Sekarang mereka sedar" ujar Jamadi pula.

Umno Juarai Jual Tanah Orang Melayu Miskin Di Selangor


Oleh Rusnizam Mahat, suara keadilan

KUALA KUBU BAHARU 11 Apr - Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata banyak program yang diwujudkan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya membantu mengangkat kedudukan orang Melayu di negeri itu.

Sebaliknya Umno yang mendakwa pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor tidak mengutamakan masyarakat Melayu, sedangkan hakikat yang sebenarnya Umno adalah pengkhianat Melayu, pengkhianat yang telah menjual tanah orang -orang Melayu miskin di Selangor.

"Orang Melayu (pemimpin Umno) begitu jangan dibuat kawan. Dia tipu orang miskin, iti sebab tidak boleh berjaya. Jadi tidak hairanlah hutang anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan melebihi RM100 juta. Tolong orang miskin entah macam mana hutang sampai RM100 juta," ujarnya.


Menurut beliau lagi, hasil pendapatan kerajaan negeri mampu menampung peruntukan dan kos pendadbiran dengan hanya melibatkan peruntukan RM700 juta berbanding kerajaan terdahulu yang memerlukan peruntukan yang amat besar. Ini adalah kerana pentadbiran BN melakukan begitu banyak pembaziran dan ketirisan.

"Itu lah konsep merakyatkan ekonomi, ketua kampung melihat bagaimana pembangunan disalurkan kepada rakyat dan ianya dilakukan dari masa kesemasa. Kita bukan tunggu pilihan raya kerana itu hak rakyat negeri Selangor," tambah beliau.

Khalid turut menyentuh mengenai pengurusan air di Selangor yang diswastakan sejak 2004 sebelum diambil alih kerajaan negeri.

"Tak ada suara dari Umno dan BN untuk menentang penjualan kepada syarikat air. Duitnya tidak sebanyak mana, masyarakat kena bayar. Itu bezanya Pakatan yang baru dua tahun berbanding Umno yang sudah 50 tahun, perjuangan kita adalah perjuangan rakyat. Saya tidak ambil harta rakyat, saya membela rakyat," tegas beliau.



Sunday, April 4, 2010

BUKTI KEBAJIKAN PAKATAN RAKYAT

Warga emas banjiri bank dapatkan RM100 seorang dari kerajaan negeri
Ali Hashim
PERMATANG PAUH,
4 April:
Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.


Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man (gambar bawah) juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.

BN JUARA PANCING UNDI BUKAN JUARA RAKYAT!

M Faqih & Foto M Yarisman

MACHANG, 4 April: Ketika 1Malaysia dijulang dengan kejayaan genap setahun Datuk Seri Najib Razak menerajui negara, tanpa disedari tiga Naib Presiden Umno tiada bersamanya ketika turun padang berkempen di Hulu Selangor semalam.

Perdana Menteri kelihatan keseorangan di Hulu Selangor tanpa kehadiran pemimpin kanan Umno. Cuma kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Umno Selangor.

Sedangkan tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafei Afdal berada di sini bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Kalau diambil kira dari segi kepentingan politik, kehadiran pemimpin kanan Umno di Hulu Selangor lebih penting bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.

Bagi Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim ketidakhadiran tiga pemimpin kanan Umno bersama Perdana Menteri di Hulu Selangor memperlihatkan ada masalah dalaman Umno sekarang.

“Ini dapat dilihat apabila Timbalan Menteri Perdana tanpa ditanya sesiapa pun membuat kenyataan masih mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Kebiasaannya apabila kenyataan itu terpaksa dikeluarkan menggambarkan ada masalah dalaman membabitkan kedua-dua pemimpin kanan terbabit sekarang.

Sementara itu dalam perkembangan lain kehadiran Muhyiddin pada program Juara Rakyat di sini bagi menyampaikan wang ihsan kepada 70 pelajar miskin dari seluruh Kelantan.

Pada peringkat awal diuar-uarkan sebanyak RM25 juta akan diberi kepada pelajar miskin, di mana ibu bapa mereka berpendapat kurang RM750 sebulan.

Seramai 100,000 pelajar disasarkan Umno mendapatkan wang ihsan. Sedangkan pada majlis semalam difahamkan hanya sebanyak RM10,500 diberi kepada 70 pelajar iaitu sebanyak RM150 seorang.

Sebelum itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sekali lagi mengulangi “Wang ihsan hanya kita berikan kepada pelajar-pelajar miskin sahaja. Kalau tidak mahu kepada wang ihsan bermakna tidak undi BNlah.



PAKATAN RAKYAT TERNYATA MENDAHULUKAN RAKYAT DALAM PROGRAM KEBAJIKAN

Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 4 April: Negeri-negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat dalam setiap program, biar pun slogan itu menjadi motto utama kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau berkata, banyak dasar dan gerak kerja di negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat.

Di Kelantan ada SKIM TAKAFUL KIFAALAH yang memberi wang saguhati sebanyak RM1,500 kepada setiap warga emas berusia 60 tahun apabila meninggal dunia.

Begitu juga di Selangor ada SKIM MESRA USIA EMAS dan TABUNG WARISAN ANAK. Manakala di Pulau Pinang setiap warga emas menerima RM100.


“Pelbagai program di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan jelas menunjukkan rakyat benar-benar didahulukan,” katanya pada satu program di Putik semalam.

Perdana Menteri melancarkan slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada 5 April selepas menduduki kerusi perdana menteri.

Idris juga berkata, bagi memastikan rakyat tahu kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, program penerangan di peringkat akar umbi perlu diperhebatkan.

Katanya, kegagalan itu berpunca amalan rasuah politik menjadi darah daging mereka. Kata beliau amalan memberi wang kepada perwakilan ketika pemilihan parti sudah menjadi kelaziman kepada pemimpin UMNO.

Friday, April 2, 2010

BETULKAH BN JUARA RAKYAT?

BN JUARA RAKYAT?

Oleh Fazli Othman – harakah daily

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang menyamakan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu seperti kem pelarian Vietnam serta mendakwa Menteri Kesihatan tidak ambil pusing terhadap laporan yang dibuat berkali-kali mengenai keadaan buruk hospital tersebut.



Kit Siang mendesak agar Datuk Seri Liow Tiong Lai dipecat daripada jawatannya kerana kegagalan beliau mengambil tindakan. Menurut Ahli Parlimen itu seorang doktor yang bertugas di hospital tersebut telah menulis sepucuk surat yang menceritakan masalah kekurangan doktor pakar menyebabkan pesakit terpaksa dipindahkan dari satu hospital ke hospital.



"Doktor tersebut telah menghantar surat terbuka kepada Liow tentang krisis yang dihadapi hospital di Sabah dan mendedahkan pengalaman pesakit yang bernama Wong yang dipindahkan dari satu hospital ke hospital untuk mendapat rawatan disebabkan kekurangan kelengkapan doktor dan kelengkapan.



"Krisis ini amat memalukan kerana di masa Najib mencanangkan 1Malaysia dengan retorik 'Rakyat Didahulukan", rakyat Sabah tidak mendapat kemudahan kesihatan yang sepatutnya.



Sehubungan itu Ahli Parlimen Kota Kinabalu Hiew King Cheu juga mendedahkan masalah hospital di Tuaran yang tidak mempunyai katil manakala hospital Queen Elizebeth pula kekurangan katil. "Hospital juga kekurangan peralatan dan kompleks hospital masih belum siap setelah hampir 3 tahun tertangguh. Ambulan pula bukan digunakan untuk kecemasan tetapi untuk memindahkan pesakit dari satu hospital ke satu hospital,



Kit Siang berkata beliau akan menghantar kenyataan doktor Hospital Queen Elizebeth tersebut kepada Perdana Menteri apabila Kabinet bermesyuarat Jumaat ini.


ISU PKFZ,

KUALA KRAU, 4 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Corak pentadbiran dan pengurusan pemerintahan Umno yang banyak menyeleweng menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit. Banyak isu yang belum selesai seperti isu PKFZ, kehilangan injin jet, stadium runtuh, kapal selam yang tidak boleh menyelam.


DR ZAMRY ABD KADIR SEBAGAI MENTERI BESAR


IPOH, 17 Feb: Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat membantah keras tindakan kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama yang merobohkan kawasan ladang yang telah diusahakan selama 12 tahun di Air Kuning, Perak.

Kawasan tersebut yang terletak berhampiran Taiping berada dalam Dewan Undangan Negeri Changkat Jering dalam Parlimen Bukit Gantang.

Insiden ini berlaku kira-kira 48 jam selepas Dr Zamry Abd Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah baru-baru ini.

Kawasan seluas kia-kira 15 hektar itu telah dibangunkan bersama oleh sekumpulan 10 orang pengusaha dengan tanaman sayur-sayuran, ternakan lembu dan kambing, ternakan ikan dalam kolam serta pokon buah-buahan.

"Kami membangunkan tanah tersebut yan tidak didiami bagi memenuhi hasrat kerajaan yang mahu memajukan sektor pertanian dan penternakan," kata Mohd Salleh Ariffin, jurucakap kumpulan peneroka tersebut.


Pasukan perobohan tersebut dari Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama, dibantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis dari Taiping, JKR Taiping dan jentera dari syarikat Gamuda mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan selama 12 tahun.

"
Mereka datang seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Kami telah membuat permohonan untuk mendapat hak milik tanah termasuk menghantar surat ke Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak mendapat respon sehingga kini.

"Mereka memusnahkan semuanya yang kami usahakan termasuk menebang pokok buah-buahan. Adakah ini slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?," kata Mohd Salleh yang turut ditangkap dan digari kerana didakwa cuba menghalang kerja-kerja perobohan tersebut.


Kerugian dianggarkan sekitar RM500,000.00.

Mengulas kejadian ini, Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir melahirkan rasa dukacita, kesal dan menyampah dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Dr Zamry ke atas rakyatnya sendiri di Perak.

Katanya, tindakan meroboh dengan jentolak dengan bantuan pasukan polis dan FRU ini seolah-olah menyerupai tindakan yang diambil oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestine.

"Sepatutnya pihak kerajaan perlu menggunakan kaedah perundingan untuk mendengar permasalahan rakyat dahulu. Saya juga nak ulangi apakah ini dia slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?


"
Kita membantah keras tindakan ini dan menuntut kerajaan Dr Zamry memohon maaf dengan pihak yang terbabit dan membayar ganti rugi kepada mereka.

"Kita juga menuntut kerajaan Perak tidak memandang remeh perkara ini dan tidak menjadikan ini sebagai tindakan balas dendam atau sebagainya kerana baru-baru ini mereka juga telah mengeluarkan hak milik kepada pekebun limau bali di Tambun sedangkan di sebaliknya pula ada segolongan lagi rakyat yang telah dizalimi," ujarnya.